Abang Johari Tegas! Hak Satu Pertiga Sabah, Sarawak Perlu Dikembalikan
Sarawak tidak meminta lebih daripada yang sepatutnya, Sarawak hanya mahu prinsip asal pembentukan Malaysia dihormati.
KUCHING: Sarawak tidak meminta lebih daripada yang sepatutnya, Sarawak hanya mahu prinsip asal pembentukan Malaysia dihormati.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menegaskan sebarang penambahan kerusi Parlimen mesti mengekalkan prinsip satu pertiga perwakilan bagi Sabah dan Sarawak, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Menurut beliau, ketika Malaysia dibentuk, Singapura, Sabah dan Sarawak secara bersama mempunyai kira-kira satu pertiga kerusi Parlimen. Namun selepas Singapura meninggalkan Malaysia, bahagian kerusi berkenaan tidak diagihkan semula kepada Sabah dan Sarawak, menyebabkan nisbah perwakilan kedua-dua wilayah semakin mengecil.
“Kalau nak menambahkan kerusi di peringkat Parlimen, maknanya kalau nak tambah, kita mesti ada nisbah itu, satu pertiga.”
Pendirian tegas Abang Johari sekali lagi memperlihatkan kesungguhan kepimpinan Sarawak mempertahankan kedudukan negeri ini dalam Persekutuan, bukan sekadar atas angka kerusi, tetapi demi memastikan suara Sabah dan Sarawak mempunyai kekuatan yang sewajarnya dalam menentukan masa depan Malaysia.
Sarawak turut mengalu-alukan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak perlu ditingkatkan, termasuk melalui pindaan Perlembagaan.
Bagi Abang Johari, prinsipnya jelas: nisbah satu pertiga mesti dipertahankan, manakala jumlah dan pembahagian kerusi seterusnya ditentukan melalui proses SPR.
Ini bukan tuntutan baharu. Ini soal mengembalikan keseimbangan yang menjadi sebahagian daripada asas pembentukan Malaysia.
Di bawah kepimpinan Abang Johari, Sarawak terus berdiri teguh mempertahankan MA63, memperkukuh suara rakyat dan memastikan hak Sarawak tidak semakin terhakis ditelan masa.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan