Sabtu, 19 September 2026
Terkini
Komuniti

Sebatang Puntung, Sebulan Penjara – Lelaki Indonesia Jadi Individu Pertama Dipenjara

Hanya kerana sebatang puntung rokok yang dibuang sesuka hati, seorang lelaki warga Indonesia mencipta rekod sebagai individu pertama di Malaysia dipenjarakan dalam kes berkaitan pembuangan puntung rokok.

Sebatang Puntung, Sebulan Penjara - Lelaki Indonesia Jadi Individu Pertama Dipenjara
Foto: The Great Hornbill / Facebook

JOHOR BAHRU: Hanya kerana sebatang puntung rokok yang dibuang sesuka hati, seorang lelaki warga Indonesia mencipta rekod sebagai individu pertama di Malaysia dipenjarakan dalam kes berkaitan pembuangan puntung rokok.

Kes itu menjadi peringatan keras bahawa membuang sampah kecil di tempat awam bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh namun kesannya boleh membawa seseorang dari jalanan terus ke penjara.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata pekerja am kontraktor berusia 36 tahun itu melakukan kesalahan pembuangan sisa kecil (PSK) di sekitar Stulang pada Februari lalu.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM1,000 terhadapnya. Namun selepas gagal melunaskan denda tersebut, lelaki berkenaan dipenjarakan selama sebulan bermula 28 Ogos.

Hukumannya tidak berakhir di sebalik jeriji besi. Selepas selesai menjalani hukuman penjara, lelaki itu turut diarahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam.

Kes berkenaan menghantar mesej jelas kepada masyarakat dimana tindakan yang mungkin hanya mengambil beberapa saat, termasuk mencampakkan puntung rokok ke jalan, boleh membawa akibat undang-undang yang jauh lebih berat.

Menurut SWCorp Johor, sebanyak 107 kes melibatkan PKM telah diselesaikan di mahkamah, membabitkan 59 warga tempatan dan 48 warga asing, dengan jumlah keseluruhan denda mencecah RM71,550.

Penguatkuasaan juga semakin dipertingkatkan. Sebanyak 3,358 operasi telah dilaksanakan di Johor dengan 3,095 Notis Pemberitahuan Kesalahan dikeluarkan, manakala 789 kertas siasatan telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

SWCorp menegaskan pembuangan sisa kecil di tempat awam merupakan kesalahan di bawah Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672].

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM sehingga enam bulan. Mereka yang ingkar arahan PKM pula berdepan tindakan lanjut termasuk denda maksimum RM10,000.

Mesejnya mudah tetapi tegas: jangan kerana sebatang puntung rokok, kebebasan sendiri akhirnya menjadi taruhan.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Komuniti