Sabtu, 19 September 2026
Terkini
Pelancongan

Dataran Warisan Sadong Jaya Raih Pengiktirafan Antarabangsa

Reka bentuk Dataran Warisan Sadong Jaya mencipta pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan antarabangsa daripada International Academy for Design and Health (IADH) yang berpangkalan di Sweden.

Dataran Warisan Sadong Jaya Raih Pengiktirafan Antarabangsa
Foto: The Great Hornbill / Facebook

SADONG JAYA: Reka bentuk Dataran Warisan Sadong Jaya mencipta pencapaian membanggakan apabila menerima pengiktirafan antarabangsa daripada International Academy for Design and Health (IADH) yang berpangkalan di Sweden.

Dataran yang bakal dibangunkan di Waterfront Sadong Jaya itu memenangi International Design, Green and Hub Award, dengan majlis penyampaian anugerah dijadualkan pada 1 Oktober.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, Dataran Warisan merupakan antara lima projek pembangunan pelancongan bernilai keseluruhan RM31 juta yang dirancang bagi mentransformasikan Sadong Jaya sebagai destinasi pelancongan berteraskan warisan.

Pembangunan itu merangkumi waterfront dengan menara tinjau, bazar komuniti dan Dataran Warisan, selain dua lagi komponen yang dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk serta menarik lebih ramai pengunjung.

“Tujuan utama bukan semata-mata untuk mencantikkan kawasan ini, tetapi membawa nilai sosioekonomi kepada Sadong Jaya,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sosioekonomi Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

Kesemua projek telah mendapat kelulusan IRSDA termasuk pemilihan tapak dan kini berada pada peringkat reka bentuk serta kelulusan Sarawak Building Design Committee (SBDC).

Pelaksanaan disasarkan bermula seawal tahun hadapan, dengan kerjasama agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan menjadi keutamaan bagi memastikan projek berjalan mengikut jadual.

Pengiktirafan antarabangsa itu sekali gus memberikan momentum kepada usaha menjadikan Sadong Jaya sebuah destinasi warisan baharu Sarawak yang mampu menjana pelancongan dan ekonomi masyarakat setempat.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.