Belia Sarawak Perlu ‘Street-Smart’ Hadapi Dunia Pekerjaan
Kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, sebaliknya belia Sarawak perlu memiliki kemahiran praktikal dan kebijaksanaan menghadapi realiti kehidupan atau “street-smart”.
KUCHING: Kecemerlangan akademik sahaja tidak lagi mencukupi untuk menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif, sebaliknya belia Sarawak perlu memiliki kemahiran praktikal dan kebijaksanaan menghadapi realiti kehidupan atau “street-smart”.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perubahan pesat ekonomi menuntut generasi muda menguasai kemahiran teknikal dan vokasional, digital, kreativiti, komunikasi, keusahawanan serta penyelesaian masalah.
“Mereka bukan sahaja memerlukan kemahiran dan pencapaian akademik yang tinggi, tetapi juga perlu ‘street-smart’ kerana pencapaian cemerlang termasuk ijazah kepujian kelas pertama tidak semestinya menjadikan seseorang bersedia menghadapi alam pekerjaan jika tidak mampu menyesuaikan diri dan menangani cabaran sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Sarawak di Pustaka Negeri Sarawak.
Menurutnya, peningkatan tahap pendidikan masyarakat turut menjadikan persaingan mendapatkan pekerjaan pada peringkat lebih tinggi semakin sengit, sekali gus menuntut pembangunan belia yang berteraskan ilmu, kemahiran dan pengalaman praktikal.
Dalam hubungan itu, Abdul Karim berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan terus memainkan peranan penting dalam menyediakan pelbagai laluan kerjaya kepada generasi muda.
Katanya, kejayaan tidak terbatas kepada satu laluan kerana belia boleh membina kerjaya sebagai profesional, tenaga teknikal mahir, usahawan, atlet, penggiat industri kreatif atau dalam sektor teknologi.
“Apa yang penting ialah mereka mempunyai kemahiran yang relevan serta peluang untuk berkembang,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan peluang berkenaan perlu diperluaskan kepada belia luar bandar menerusi akses setara kepada maklumat, latihan, teknologi dan kerjaya agar jarak tidak menjadi penghalang kepada potensi mereka.
Beliau berkata usaha Kerajaan Sarawak memperluaskan akses pendidikan, termasuk langkah ke arah pendidikan tinggi percuma di universiti milik Sarawak, bertujuan melahirkan lebih ramai anak Sarawak berpendidikan tinggi yang mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
Menyentuh aspek kepimpinan, Abdul Karim berkata belia tidak seharusnya hanya dianggap sebagai pemimpin masa depan, tetapi perlu diberi ruang untuk terlibat dalam pembangunan Sarawak hari ini.
“Kita tidak perlu menunggu golongan muda menjadi pemimpin sebelum memberikan mereka ruang. Kita perlu memberikan mereka ruang sekarang,” katanya.
Menurutnya, aspirasi Sarawak untuk memperkukuh ekonomi, mewujudkan pekerjaan berkualiti dan membangunkan industri tempatan memerlukan generasi pelapis yang memiliki ilmu, kemahiran, keyakinan serta jati diri kukuh.
Turut hadir Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Sarawak, Lamat Nyalau serta Setiausaha Agung Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) merangkap ADUN Daro, Dr Safiee Ahmad.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan