Sabtu, 19 September 2026
Terkini
Politik

Hormati MA63, Laporan IGC Asas Kemakmuran Malaysia – Awang Tengah

Penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) merupakan asas penting dalam memelihara semangat pembentukan Malaysia serta hubungan Persekutuan yang berteraskan kepercayaan dan saling menghormati.

Hormati MA63, Laporan IGC Asas Kemakmuran Malaysia - Awang Tengah
Foto: The Great Hornbill / Facebook

KUCHING: Penghormatan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) merupakan asas penting dalam memelihara semangat pembentukan Malaysia serta hubungan Persekutuan yang berteraskan kepercayaan dan saling menghormati.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kedua-dua dokumen itu bukan sekadar catatan sejarah, sebaliknya mencerminkan persefahaman dan jaminan yang mendasari pembentukan Persekutuan Malaysia.

“Menghormati MA63 dan Laporan IGC bermakna menghormati semangat Malaysia itu sendiri yang merupakan sebuah persekutuan yang dibina atas kepercayaan, saling menghormati dan pengiktirafan terhadap hak serta kepentingan semua pihak,” katanya dalam perutusan khas sempena Hari Malaysia 2026.

Menurut Awang Tengah, lebih enam dekad selepas pembentukan Malaysia, Sarawak telah melalui transformasi ketara, disokong pertumbuhan ekonomi yang semakin kukuh serta peningkatan keyakinan pelabur.

Dalam tempoh lima tahun sejak 2021, Sarawak merekodkan lebih RM116 bilion pelaburan menerusi pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI), sekali gus mencerminkan potensi serta daya saing ekonomi negeri yang semakin berkembang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejayaan pembangunan tidak harus diukur berdasarkan angka ekonomi semata-mata.

Sebaliknya, kemajuan sebenar perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat melalui pendidikan berkualiti, pekerjaan dengan pendapatan yang baik serta peluang ekonomi yang lebih luas, termasuk bagi masyarakat luar bandar.

“Apabila sesebuah keluarga, sama ada di bandar mahupun luar bandar, mampu menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, itulah Sarawak yang sedang berubah, sebuah Sarawak yang maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Awang Tengah turut menegaskan bahawa kekuatan Malaysia bergantung kepada kemajuan wilayah dan negeri-negeri yang membentuk Persekutuan.

Justeru, pembangunan Sarawak bukan hanya membawa manfaat kepada rakyat negeri ini, malah menyumbang secara langsung kepada kemakmuran negara secara keseluruhannya.

“Apabila Sarawak maju, Malaysia berubah. Apabila Sarawak makmur, Malaysia menjadi lebih makmur,” katanya.

Beliau pada masa sama menyeru rakyat Malaysia supaya terus memelihara perpaduan dan memperkukuh semangat kebersamaan bagi memastikan pencapaian yang dinikmati hari ini dapat dipertahankan serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Sempena Hari Malaysia 2026, mesej itu membawa penegasan bahawa Sarawak yang maju, berpendapatan tinggi dan haknya dihormati bukan sahaja penting kepada masa depan Bumi Kenyalang, malah menjadi sebahagian daripada kekuatan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Politik