Long Lellang: DAPSY Main Persepsi Ketika Siasatan Rasmi Sedang Berjalan
Ketika penyiasat profesional sedang mengumpul bukti dan kerajaan sudah memulakan semakan terhadap Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), DAPSY Sarawak tampil dengan deretan tuntutan mengenai ketelusan dan keselamatan yang sebahagian besarnya memang sedang diteliti, sekali gus…
KUCHING: Ketika penyiasat profesional sedang mengumpul bukti dan kerajaan sudah memulakan semakan terhadap Perkhidmatan Doktor Udara (FDS), DAPSY Sarawak tampil dengan deretan tuntutan mengenai ketelusan dan keselamatan yang sebahagian besarnya memang sedang diteliti, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kenyataan itu membawa fakta baharu atau sekadar membina persepsi politik di tengah-tengah tragedi Long Lellang.
Timbalan Ketua DAPSY Sarawak, Buat menggesa kerajaan dan pengendali FDS, Layang-Layang Aerospace Sdn Bhd, memastikan ketelusan, akauntabiliti serta standard keselamatan tertinggi susulan nahas helikopter pada 8 September yang mengorbankan lima nyawa.
Beliau antara lain mahu aspek penyelenggaraan pesawat, penggantian komponen kritikal, jam penerbangan, pemeriksaan sebelum penerbangan, penilaian risiko, kontrak serta pengawasan keselamatan diperiksa.
Namun, pada masa sama Soo sendiri mengakui punca sebenar nahas masih tertakluk kepada siasatan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dan tiada pihak sepatutnya dipersalahkan sebelum siasatan selesai.
Persoalannya, jika prinsipnya ialah menunggu fakta, mengapa membina senarai kemungkinan kelemahan ketika penyiasat masih menentukan apa sebenarnya berlaku?
AAIB telah menghantar pasukan penyiasat ke Miri pada 9 September, sehari selepas nahas, bagi menjalankan siasatan teknikal. Kawasan nahas turut dikawal bagi memastikan bahan bukti tidak diganggu.
Siasatan itu bukan sekadar formaliti.
Polis Sarawak setakat 13 September telah merakam keterangan 19 saksi selain meneliti lokasi pengisian minyak, laluan penerbangan dari Miri, rekod penerbangan serta kemungkinan terdapat panggilan kecemasan sebelum nahas.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata ketika itu tiada petunjuk menunjukkan kejadian berpunca daripada unsur selain kemalangan, namun semua kemungkinan terus diteliti.
Kerajaan Sarawak pula telah menyatakan kesediaan meneliti keperluan langkah keselamatan tambahan berdasarkan laporan serta pandangan pihak berkuasa penerbangan.
Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menegaskan kajian berhubung keselamatan perlu dibuat secara profesional berasaskan dapatan CAAM dan agensi berkaitan, bukannya andaian sebelum siasatan selesai.
Kementerian Kesihatan juga telah menggantung sementara operasi FDS di Sarawak dan mengumumkan penilaian menyeluruh meliputi kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, liputan serta keberkesanan model perkhidmatan berkenaan.
Dengan kata lain, banyak perkara yang kini dituntut DAPSY sebenarnya sudah pun berada dalam proses siasatan atau semakan rasmi.
Ketelusan sememangnya perlu. Jika terdapat kelemahan penyelenggaraan, prosedur, pengawasan atau aspek keselamatan, ia perlu didedahkan dan diperbaiki berdasarkan bukti.
Namun ketelusan tidak sama dengan membentuk persepsi sebelum bukti tersedia.
Ironinya, Soo sendiri meminta supaya tiada pihak dijadikan kambing hitam sebelum siasatan selesai. Prinsip yang sama sewajarnya digunakan terhadap semua pihak, jangan meminta orang ramai mengelakkan spekulasi sambil pada masa sama mengetengahkan sederet kemungkinan kegagalan yang belum dibuktikan.
Tragedi Long Lellang meragut nyawa juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu perubatan Alexson Adit Henry serta jururawat Debra Moset dan Jessie Paya Jok ketika menjalankan misi membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman Sarawak.
Dalam tragedi sebesar ini, keutamaan ialah mendapatkan kebenaran, mengenal pasti punca dan memastikan kelemahan, sekiranya ditemukan akan diperbetulkan supaya kejadian sama tidak berulang.
Biarkan AAIB dan bukti teknikal menentukan apa yang berlaku. Dalam soal kehilangan lima nyawa, fakta mesti mendahului politik persepsi.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan