Royston Buat Laporan Polis, Tegaskan Sensitiviti Agama Bukan Bahan Jenaka Politik
Keharmonian antara agama bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan demi jenaka, retorik mahupun keuntungan politik.
MUKAH: Keharmonian antara agama bukan sesuatu yang boleh dipertaruhkan demi jenaka, retorik mahupun keuntungan politik.
Dengan pendirian itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, YB Royston Valentine, hari ini hadir sendiri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk membuat laporan polis berhubung penggunaan analogi dalam ucapan seorang perwakilan politik baru-baru ini yang menurutnya menyentuh sensitiviti agama.
Royston turut memberikan keterangan kepada pegawai penyiasat selama lebih tiga jam bagi membantu siasatan serta menjelaskan perkara-perkara yang menjadi asas kepada laporan berkenaan.
Beliau menegaskan tindakannya bukan didorong oleh perbezaan ideologi atau percaturan politik.
Malah, beliau memilih hadir bersendirian tanpa membawa ahli parti politik yang diwakilinya bagi memperlihatkan bahawa isu tersebut, pada pendiriannya, melangkaui sempadan kepartian.
“Ini adalah soal tanggungjawab saya sebagai penganut agama Kristian, keprihatinan terhadap sensitiviti agama dan demi keharmonian masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.
Bagi Sarawak, isu seperti ini membawa makna yang jauh lebih besar.
Negeri ini dibina atas kehidupan bersama masyarakat yang berbeza kaum, agama dan budaya namun berkongsi kampung, kejiranan, sekolah, tempat kerja, meja makan dan kehidupan seharian dalam suasana saling menghormati.
Perbezaan tidak seharusnya menjadi tembok. Agama tidak seharusnya menjadi senjata. Dan sensitiviti sesuatu kepercayaan tidak wajar dijadikan bahan untuk mencetuskan ketawa dengan mengorbankan rasa hormat terhadap orang lain.
Itulah antara kekuatan Sarawak yang mesti terus dipertahankan.
Royston berkata perkara yang menyentuh 3R iaitu institusi diraja, agama dan kaum yang tidak seharusnya dipertaruhkan atau digunakan sebagai bahan perbandingan sehingga berpotensi menimbulkan salah faham, keresahan ataupun ketegangan dalam masyarakat.
Beliau menyerahkan sepenuhnya perkara tersebut kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk disiasat secara profesional, adil dan mengikut lunas undang-undang.
Pada masa sama, Royston mengingatkan bahawa kebebasan bersuara bukan lesen untuk mengabaikan sensitiviti masyarakat.
“Kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab yang besar,” tegasnya.
Menurut beliau, sebagai wakil rakyat, beliau akan terus mempertahankan keharmonian, toleransi dan rasa hormat antara agama serta kaum yang menjadi asas penting kepada perpaduan masyarakat.
Pendirian itu amat signifikan dalam konteks Sarawak, sebuah negeri yang selama ini dikenali dengan masyarakatnya yang mampu hidup bersama dalam kepelbagaian tanpa perlu menghapuskan identiti dan kepercayaan masing-masing.
Keharmonian seperti ini bukan tercipta dalam sehari.
Ia diwarisi, dipelihara dan dipertahankan oleh generasi demi generasi. Justeru, setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab untuk memastikan politik tidak meruntuhkan jambatan perpaduan yang mengambil masa begitu lama untuk dibina.
Royston turut mengingatkan bahawa sesuatu bentuk humor yang mungkin dianggap biasa dalam masyarakat lain tidak semestinya sesuai dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, khususnya apabila menyentuh perkara berkaitan agama.
“Tidak semua jokes sesuai untuk semua masyarakat. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, apa yang dianggap ‘adult joke’ di Barat belum tentu boleh diterima di sini, lebih-lebih lagi yang melibatkan sensitiviti agama,” katanya.
Beliau kemudian merumuskan pendiriannya dengan satu mesej yang ringkas tetapi tegas:
“Humour is subjective, but RESPECT is universal.”
Dalam sebuah negeri seperti Sarawak, mesej itu cukup jelas.
Kita boleh berbeza agama. Kita boleh berbeza bangsa. Kita juga boleh berbeza pandangan dan pegangan politik.
Tetapi jangan sesekali membiarkan perbezaan itu merampas rasa hormat sesama manusia.
Kerana keamanan Sarawak bukan sekadar diwarisi daripada generasi terdahulu, ia adalah amanah yang mesti kita pertahankan untuk generasi yang akan datang.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan