Sabtu, 19 September 2026
Terkini
Politik

Tanda Tanya Bukan Bukti: Politik Persepsi Boleh Memakan Diri

Caranya kelihatan mudah: lontarkan insinuasi, bangkitkan syak wasangka, biarkan persepsi merebak kemudian semuanya boleh dipersembahkan sebagai, “Saya cuma bertanya.”

Tanda Tanya Bukan Bukti: Politik Persepsi Boleh Memakan Diri
Foto: The Great Hornbill / Facebook

KUCHING: Caranya kelihatan mudah: lontarkan insinuasi, bangkitkan syak wasangka, biarkan persepsi merebak kemudian semuanya boleh dipersembahkan sebagai, “Saya cuma bertanya.”

Cukup tajam untuk mencetuskan kecurigaan, tetapi cukup kabur untuk tidak menjadi dakwaan secara terus.

Namun DAP Sarawak sepatutnya sudah belajar bahawa politik tuduhan dan persepsi boleh memakan diri.

Lihat sahaja kes “black hole” Chong Chieng Jen. Dakwaan bahawa RM11 bilion dana negeri “hilang” ke dalam black hole akhirnya membawa kepada saman fitnah. Pada 3 Julai 2026, Mahkamah Rayuan sebulat suara menolak rayuan Chong dan mengekalkan dapatan bahawa kenyataan itu memfitnah Kerajaan Sarawak serta Pihak Berkuasa Kewangan Sarawak. Ganti rugi turut dinaikkan daripada RM150,000 kepada RM300,000, dengan keseluruhan ganti rugi dan kos yang diperintahkan mencecah RM500,000.

Malah pada Disember 2025, Chong turut tewas dalam satu lagi saman fitnah yang difailkan Dr Sim Kui Hian berhubung kenyataan mengenai dana bantuan makanan COVID-19. Mahkamah Tinggi memerintahkannya membayar keseluruhan RM500,000 dalam ganti rugi dan kos.

Dua episod mahkamah ini sepatutnya menjadi peringatan bahawa politik bukan pertandingan siapa paling pantas menanam syak wasangka.

Kalau ada bukti, bentangkan. Kalau ada fakta, dedahkan.

Jangan sampai selepas pengalaman mahal di mahkamah, politik persepsi sekadar bertukar pakaian daripada dakwaan terus kepada rentetan tanda tanya.

Sarawak tidak memerlukan politik yang hidup daripada insinuasi dan sensasi.

Jangan baling batu, kemudian sembunyikan tangan di belakang tanda tanya.

Kerana tanda tanya bukan bukti dan persepsi tidak akan menjadi kebenaran hanya kerana diulang berkali-kali.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.

Berkaitan

Lagi Politik