Dari Lawas Hingga Telok Melano, GPS Tampilkan Pelaksanaan Agenda Pembangunan Sarawak
Dari Lawas di utara hingga Telok Melano di selatan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetengahkan pembangunan jalan raya, jambatan, pelabuhan, tenaga dan pusat pertumbuhan baharu sebagai antara ukuran pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak di bawah…
KUCHING: Dari Lawas di utara hingga Telok Melano di selatan, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengetengahkan pembangunan jalan raya, jambatan, pelabuhan, tenaga dan pusat pertumbuhan baharu sebagai antara ukuran pelaksanaan agenda pembangunan Sarawak di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan itu mencerminkan pendekatan kerajaan GPS yang disifatkannya sebagai “cakap serupa bikin”, apabila perancangan jangka panjang diterjemahkan secara berperingkat kepada projek dan pembangunan di seluruh negeri.
Di Lawas dan Limbang, pembangunan Northern Coastal Highway (NCH) serta rangkaian jalan baharu menjadi antara projek strategik untuk meningkatkan keterhubungan wilayah utara, termasuk usaha mewujudkan perjalanan darat yang lebih lancar antara Sarawak dan Sabah tanpa perlu bergantung kepada laluan melalui Brunei.
Di Miri, transformasi pula semakin ketara melalui beberapa projek berskala besar. Antaranya Jambatan Marina sepanjang kira-kira 650 meter yang sedang dibina bagi menghubungkan Marina dengan Pulau Melayu. Projek itu dijangka memendekkan masa perjalanan daripada kira-kira 25 minit kepada hanya lima minit apabila siap pada Mei 2029.
Pada masa sama, projek mendalamkan saluran akses Kuala Baram sedang dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan Pelabuhan Miri dan membuka potensi pembangunan pelabuhan lebih besar, industri perkapalan, logistik serta kawasan komersial baharu.
Hubungan Miri dengan kawasan pedalaman turut diperkukuh menerusi pembangunan rangkaian Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama, yang bernilai lebih RM3 bilion dan dirancang membuka akses lebih baik kepada Baram, termasuk peluang dalam pertanian, pelancongan dan kegiatan ekonomi luar bandar.
Pembangunan itu memperlihatkan Miri bukan lagi hanya bergantung kepada legasi minyak dan gas, sebaliknya sedang diposisikan sebagai pusat pertumbuhan utama utara Sarawak dengan jaringan bandar, pelabuhan dan pedalaman yang lebih bersepadu.
Di Bintulu, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu oleh Kerajaan Sarawak menerusi proses bernilai RM1.8 bilion menjadi antara pencapaian strategik negeri, selain Bintulu diposisikan dalam agenda transformasi industri rendah karbon melalui inisiatif Transitioning Industrial Clusters (TIC) Forum Ekonomi Dunia.
Pembangunan turut merentasi Sarawak tengah, termasuk Mukah, Sibu, Kapit, Sarikei, Betong dan Sri Aman, dengan jalan raya, jambatan serta kemudahan asas terus diperluas bagi merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.
Di Kuching dan Samarahan, tumpuan berkembang kepada pengangkutan awam, ekonomi digital, teknologi dan infrastruktur data, selari dengan usaha membentuk kawasan metropolitan yang lebih moden serta bersepadu.
Ke selatan, Tanjung Embang dirancang sebagai hab rendah karbon yang disokong pembangunan lapangan terbang antarabangsa dan pelabuhan laut dalam baharu. Menurut Abang Johari, pembangunan itu diunjurkan membawa pelaburan keseluruhan sekitar RM100 bilion dalam tempoh sedekad.
Rangka pembangunan tersebut akhirnya menjangkau Telok Melano, melambangkan usaha memperluaskan keterhubungan dan pembangunan sehingga ke penghujung selatan Sarawak.
Dalam sektor tenaga, Sarawak turut memperluaskan peranannya menerusi pembekalan elektrik ke Kalimantan, pengukuhan hubungan dengan Sabah serta perancangan bekalan ke Brunei, sekali gus meningkatkan kedudukan negeri dalam jaringan tenaga Borneo dan ASEAN.
Dari Lawas, Limbang, Miri dan Bintulu, merentasi wilayah tengah hingga Kuching, Tanjung Embang dan Telok Melano, pembangunan Sarawak membawa satu ukuran utama, sejauh mana dasar dapat diterjemahkan kepada infrastruktur, peluang ekonomi dan manfaat yang dapat dirasai rakyat.
Dalam konteks itulah Abang Johari meletakkan ungkapan “cakap serupa bikin” sebagai ukuran kepada rekod kerajaan GPS dimana pembangunan bukan sekadar diumumkan, tetapi perlu dilaksanakan dan akhirnya memberi hasil kepada rakyat Sarawak.
Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.
Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.



Perbincangan