Sabtu, 19 September 2026
Terkini
Pembangunan

Rakyat Tidak Boleh Terus Menunggu, Nanta Mahu Projek Kerajaan Siap Lebih Awal

Rakyat tidak seharusnya terus menunggu bertahun-tahun untuk menikmati pembangunan yang sudah diluluskan dan diperuntukkan.

Rakyat Tidak Boleh Terus Menunggu, Nanta Mahu Projek Kerajaan Siap Lebih Awal
Foto: The Great Hornbill / Facebook

KUCHING: Rakyat tidak seharusnya terus menunggu bertahun-tahun untuk menikmati pembangunan yang sudah diluluskan dan diperuntukkan.

Atas prinsip itu, Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mahu projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bukan sekadar disiapkan mengikut jadual, tetapi seboleh-bolehnya mencapai status Ahead of Time (AOT) atau siap mendahului masa.

Pendekatan itu membawa mesej jelas, apabila wang rakyat sudah diperuntukkan dan projek diluluskan, manfaat pembangunan perlu sampai kepada rakyat secepat mungkin tanpa mengorbankan kualiti serta keselamatan.

Bagi Sarawak, tuntutan terhadap kecekapan pelaksanaan projek amat penting memandangkan keluasan negeri serta keperluan pembangunan infrastruktur yang berterusan, khususnya untuk meningkatkan hubungan antara bandar, pekan kecil dan kawasan luar bandar.

Nanta berkata KKR mahu mengurangkan kebergantungan terhadap permohonan lanjutan masa atau Extension of Time (EOT), selain mengambil pendekatan tegas terhadap projek bermasalah.

Menurut beliau, projek sakit ketika ini merangkumi kira-kira empat peratus daripada keseluruhan projek yang dilaksanakan KKR pada sesuatu masa.

Walaupun jumlah itu relatif kecil, kementerian tidak mahu berkompromi.

“Walaupun sedikit, kita tidak akan toleransi kerana kita mahu sifarkan projek sakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Stor Rampasan Pejabat Penguatkuasaan Kastam, Kuching di Muara Tebas, hari ini.

Nanta menegaskan semua pihak yang terbabit perlu bergerak dalam satu hala tuju bagi memastikan setiap projek kerajaan dapat disiapkan mengikut jadual.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kelewatan projek tidak semestinya berpunca daripada kontraktor semata-mata kerana pelbagai faktor boleh mempengaruhi pelaksanaannya.

Antaranya termasuk kelemahan pengurusan, kedudukan kewangan syarikat serta isu berkaitan tapak projek.

Namun bagi rakyat, hasil akhirnya tetap menjadi ukuran paling penting.

Jalan perlu siap untuk dilalui. Jambatan perlu siap untuk menghubungkan masyarakat. Bangunan dan kemudahan awam perlu siap supaya perkhidmatannya boleh digunakan.

Sebab itu setiap kelewatan perlu ditangani secara serius kerana projek yang tertangguh bukan sekadar angka dalam laporan kemajuan, ia boleh bermakna rakyat terpaksa menunggu lebih lama untuk menikmati kemudahan yang telah dirancang untuk mereka.

Setakat September 2026, JKR Malaysia sebagai antara agensi teknikal utama kerajaan sedang melaksanakan 112 projek melibatkan pelbagai agensi Persekutuan dengan jumlah peruntukan RM12 bilion.

Daripada jumlah tersebut, 30 projek telah siap, 38 sedang dalam pembinaan, 41 berada pada peringkat pra pembinaan dan tiga lagi pada peringkat kerja awalan.

Penegasan Nanta terhadap AOT sekali gus menetapkan satu penanda aras lebih tinggi dalam budaya penyampaian projek kerajaan.

Bagi Sarawak yang sedang bergerak pesat membangunkan rangkaian jalan raya, jambatan serta pelbagai kemudahan awam, kecekapan pelaksanaan menjadi semakin penting supaya momentum pembangunan dapat diterjemahkan kepada perubahan sebenar dalam kehidupan rakyat.

Kerana bagi rakyat, pembangunan bukan sekadar berapa bilion ringgit diumumkan.

Pembangunan hanya benar-benar bermakna apabila projek siap, pintunya dibuka dan manfaatnya akhirnya sampai kepada rakyat.

Perbincangan

Tinggalkan komen

E-mel anda tidak akan disiarkan. Sila berbudi bahasa.

Berita Sarawak, terus ke peti mel anda.

Ringkasan pagi setiap hari bekerja. Tiada spam, berhenti bila-bila masa.